Sunday, 15 May 2011

Perkembangan Otak

APABILA melihat sekumpulan kanak-kanak bermain, pada fikiran kita mungkin akan 
bertanya apakah yang berlegar dalam minda mereka?

Adakah mereka tahu apa apa yang dimainkan atau langsung tiada makna? 
Sering kali juga kita melihat keasyikan bayi memegang alat mainan, 
kemudian menggigit, mengetuk atau membaling mainan itu. 

Perkara ini dilakukan berulang-ulang tanpa jemu sehinggalah barang itu pecah dan rosak. 

Bagi bayi dan kanak-kanak yang gemar merosakkan permainan, ada ibu bapa 
melihat daripada pandangan berbeza.



Ada yang tidak lagi mahu membelikan permainan kerana menganggapnya 
membazir dan anak-anak tidak tahu menghargainya.

Namun tahukah anda pemusnahan dilakukan si kecil adalah tanda permulaan 
mereka menunjukkan sikap ingin tahu terhadap sesuatu perkara yang baru 
dicapai sebelum memulakan penerokaan lebih mencabar?

Ramai ibu bapa tidak tahu bermain adalah proses penting kepada 
kanak-kanak. Melalui aktiviti ini bayi dan kanak-kanak membina pengetahuan 
mengenai sains dan sosial.

Mereka juga terhibur apabila bermain kerana dapat melahirkan perasaan, 
beroleh kegembiraan dan keseronokan.

Ramai ahli psikologi kanak-kanak menekankan kepentingan bermain kepada 
bayi dan kanak-kanak termasuklah Montessori yang menganggap permainan 
adalah pekerjaan kanak-kanak. Froebel pula percaya bermain adalah asas
 dalam pembelajaran. Ini amat penting bagi guru merangsang minat dan 
tumpuan kanak-kanak, menggunakan naluri ingin tahu mereka dan 
memotivasikan mereka untuk belajar. 

Menurut Vygotsky (1966) pula, bermain adalah cara kanak-kanak belajar 
mengenai apa yang tidak dapat diajar orang lain. Contohnya, mereka 
dapat meningkatkan kemahiran sosial dengan cara meneroka dan menjelajah dunia sebenar.

Menurut Pengasas Live and Learn, Singapura, Carrie Lupoli, banyak kajian 
dijalankan mengenai kepentingan bermain kepada bayi dan kanak-kanak. 

Ini kerana, usia sebulan sehingga mencecah tiga tahun ke atas adalah masa 
yang sangat kritikal kepada mereka terutama dalam membantu fungsi
 perkembangan otak serta pembelajaran mereka.

Bermain adalah peringkat permulaan kanak-kanak kepada proses pembelajaran, 
membina perhubungan dan kemahiran harian. Kini, ibu bapa cenderung 
melihat kebolehan kanak-kanak pada setiap perkembangan usia mereka. 
Justeru, membina perkembangan otak bayi menerusi permainan memberi
 pengalaman baru kepada ibu bapa.
Ibu bapa harus menyediakan asas dan tapak yang kukuh 
kepada kanak-kanak. Bukan saja menyediakan pembelajaran menerusi 
kebolehan membaca atau mengira tetapi juga lebih daripada itu. Kanak-kanak
 harus diajar berfikir keluar daripada kotak atau lari daripada kebiasaan. Ini 
dinamakan sebagai pemikiran kreatif dan hanya boleh diperoleh menerusi permainan.

Dalam erti kata lain, kanak-kanak sememangnya tidak boleh dipisahkan 
daripada permainan kerana bermain boleh memberi kegembiraan dan 
kepuasan kepada mereka walaupun bukan untuk mendapatkan sesuatu
 hasil atau mencapai tujuan tertentu.

Bermain juga membolehkan kanak-kanak mencipta dan meneroka suatu 
dunia yang dapat mereka kuasai. Bermain boleh mengawal rasa takut 
sambil berlatih menjadi dewasa. Dalam dunia ini, mereka memperoleh 
kebolehan baru yang membawa kepada keyakinan diri serta ketabahan 
yang diperlukan bagi menghadapi cabaran mendatang. 

Melalui bermain, kanak-kanak mampu meningkatkan pelbagai sudut 
perkembangan diri selain menjadikannya saat yang paling berharga.
Justeru, sangat penting ibu bapa mencari alat permainan yang sesuai dengan 
peringkat usia anak. Dengan bantuan serta sokongan yang betul ketika bermain 
anak akan menjadi lebih bijak, aktif dan menunjukkan perkembangan yang sihat 
bukan saja ketika masih bayi tetapi dalam proses peralihan usia menjadi remaja dan dewasa.

2 comments:

  1. saya tak ada anak lagi..tapi saya sangat seronok tengok anak buah saya main balin2 barang,,pastu dia ketawa..saya tak tahu apa yang lawak..tapi dia seronok..dan kanak2 sangat belajar apa yang orang besar buat walaupon kita tak pernah ajar dia macam mana buat.=)

    ReplyDelete
  2. btol tu..saye pon xde anak lagi..tapi tu la hakikatnya..kita kena biar anak2 bermain untuk perkembangannya..

    ReplyDelete